PUTRAJAYA: Program UNiRIDE oleh CMS Consortium Ecotour Sdn Bhd (CMS) menawarkan khidmat kongsi kereta dan tempat letak kereta bagi mengurangkan pelajar menggunakan kenderaan sendiri, sekali gus mengatasi isu ruang parkir di universiti awam. 

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata pihaknya yakin Program UNiRIDE dapat meningkatkan mutu pengangkutan dalam universiti, sekali gus memudahkan warga kampus bergerak tanpa berbaris panjang terlalu lama menunggu pengangkutan awam seperti bas atau teksi.

"Memandangkan perkhidmatan UNiRIDE menawarkan perlindungan insurans peribadi kepada pengguna, ia sangat selamat jika dibandingkan perkhidmatan kereta sewa yang tidak berdaftar, selain berupaya menjana pendapatan tambahan kepada universiti. "Ini selari dengan seruan kerajaan bagi memperkasa universiti yang lebih mampan dan berdaya saing," katanya ketika berucap pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Dan Perjanjian Kerjasama (MoU) Program UNiRIDE, di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif CMS, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif Malaysia (MAI), Datuk Madani Sahari. 

Pada majlis itu, empat universiti awam menandatangani MoU berkenaan termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM). Sementara itu, Syed Zainal berkata, sebagai permulaan, program perintis akan diadakan di kampus UiTM Puncak Alam, Selangor dengan memperuntukkan 10 kereta pada awal bulan depan. 

Beliau berkata, pengguna boleh menempah kereta melalui laman sesawang atau aplikasi khas, sama ada perjalanan sehala atau dua hala dan boleh mengambil atau meninggalkan kenderaan di mana-mana tempat letak kereta dikhaskan untuk UNiRIDE dalam kampus sambil menikmati khidmat Wi-Fi percuma di tempat letak kereta itu. Program diperkenalkan CMS itu turut menyaksikan pelancaran program perkongsian kereta elektrik (COMOS) yang pertama di Malaysia pada 2015, yang dilakukan menerusi kerjasama MAI dan juga konsep pertama seumpamanya di rantau ASEAN.